Bismillahirrahmanirrahim,
Segala puji bagi Allah yang telah memberi kita kenikmatan yang besar dengan Nabi yang mulia, Nabi yang terpilih dan Nabi yang penuh cinta kasih. Selawat dan salam dilimpahkan kepadanya. Melalui Rasulullah, kita mengenal agama yang agung dan penuh berkat ini sehingga menjadikan semua perkara yang susah menjadi mudah. Dan beliau telah memberi petunjuk kepada kita berkaitan amalan ringan untuk mendapat pahala yang akan diberikan kepada siapa yang dikehendakiNya. Maka beruntunglah orang yang berpegang teguh dengan agama Islam dan mendapat kemenangan besar dari Allah iaitu keampunan dan balasan dariNya. Maka sangatlah rugi bagi orang yang ingkar dengan arahanNya.
Maksud Wuduk
Wuduk menurut bahasa ertinya bersih dan indah, manakala menurut syariat Islam ertinya membersihkan anggota wuduk untuk menghilangkan hadas kecil.
Menyempurnakan Wuduk
"Tidaklah seseorang diantara kamu berwuduk, lalu menyempurnakan wuduknya, kemudian berkata, "Aku bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah, dan bahawasanya Muhammad adalah hamba Allah dan RasulNya kecuali telah dibuka baginya pintu–pintu syurga dan mereka diberi masuk dari mana pintu syurga yang mereka suka."
(Hadis Riwayat Muslim)
Pada hadits diatas, Rasulullah S.A.W. menerangkan bahawa siapa yang berwuduk dengan sempurna mengikut apa yang telah diajarkan oleh agama, kemudian memberi kesaksian tentang keesaan Allah dan Muhammad S.A.W., maka Allah akan menghormatinya dengan kedudukan yang agung, iaitu dibuka baginya seluruh pintu syurga, kemudian mereka diberi masuk dari mana pintu syurga yang mereka suka.
Cara Wuduk yang benar:
1. Membasuh kedua tangan sampai pergelangan tangan tiga kali.
2. Berkumur tiga kali.
3. Membasuh lubang hidung dengan air tiga kali.
4. Membasuh muka tiga kali dengan sempurna seluruh wajah sehingga sebahagian kepala.
5. Membasuh kedua-dua belah tangan tiga kali dengan sempurna sampai ke siku.
6. Mengusap kepala dengan air tiga kali.
7. Mengusap kedua telinga iaitu dengan memutarkan jari telunjuk pada rongga telinga.
8. Membasuh kedua-dua kaki sehingga bersih khususnya tumit.
Rasulullah S.A.W. bersabda,
"Barangsiapa berwuduk dengan menyempurnakan wuduknya akan keluar semua kesalahan dari dalam tubuhnya, bahkan sampai keluar dari bawah kuku–kukunya."
(Hadis Riwayat Muslim)
No comments:
Post a Comment