Daripada Abdullah Ibnu Masud R.A, beliau mendengar Rasullulah S.A.W. bersabda: “Tidak akan masuk syurga sesiapa yang ada sifat sombong walaupun seberat zarah”. Maka telah berkata seorang lelaki kepada Baginda: ”Sesungguhnya seseorang individu itu suka jika pakaiannya baik dan kasutnya juga baik”. Balas Baginda S.A.W.: ”Sesungguhnya Allah itu cantik dan suka akan kecantikan. Sifat sombong meleyapkan kebenaran dan merupakan kehinaan kepada manusia”.
(Riwayat Imam Muslim).
Daripada hadith ini jelas menunjukkan bahawa Rasulullah S.A.W. tidak melarang seseorang manusia itu untuk memperagakan fesyen malah Baginda menerangkan bahawa Allah itu sifatNya cantik dan suka akan kecantikan. Namun Rasulallah S.A.W. melarang jika seseorang itu berfesyen dalam keadaan angkuh dan sombong kepada masyarakat sekelilingnya.
Walaupun kita diberikan kebebasan dalam memperagakan sesuatu fesyen, tidak bermakna kita boleh memakai apa sahaja pakaian tanpa perlu menghiraukan adab dan tatasusila. Sesungguhnya Islam telah menggariskan beberapa panduan bagi seseorang muslim mahupun muslimah dalam berpakaian. Antara perkara yang perlu diambil perhatian dalam berfesyen ialah:
1) Memastikan pakaian tersebut menutup aurat.
- Apakah itu aurat? Aurat berasal daripada perkataan arab yang bermaksud aib atau kekurangan pada sesuatu benda. Apabila menyebut mengenai aurat dalam berpakaian ialah kawasan anggota yang perlu dijaga dan ditutup oleh setiap orang Islam daripada dilihat oleh orang lain. Tujuan utama diwajibkan menutup aurat ke atas umat Islam adalah semata-mata untuk memelihara dirinya dan orang lain daripada perkara buruk yang menjerumuskan mereka ke dalam lembah dosa. Aurat bagi seseorang lelaki adalah di antara kawasan pusat dan lututnya. Manakala bagi seseorang wanita pula auratnya ketika bersama dengan bukan mahram adalah seluruh anggota badan kecuali muka dan kedua pergelangan serta tapak tangannya.
2) Tidak memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh.
- Antara adab ketika berpakaian adalah memakai pakaian yang tidak ketat yang menampakkan bentuk tubuh si pemakai terutamanya kepada kaum wanita. Dalam hal ini Nabi S.A.W. telah menyatakan sepertimana yang diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam Sahihnya bahawa antara golongan yang akan diazab oleh Allah dalam api neraka adalah golongan perempuan yang disebut ‘Kaasiyat Aariyat’ iaitu wanita-wanita yang memakai pakaian dengan mendedahkan sebahagian bentuk tubuhnya. Salah seorang ulama’ terkenal iaitu Sheikh Muhammad bin Salih al-Uthaimin ketika mengulas hadith ini beliau menyatakan bahawa yang dimaksudkan golongan ini antaranya perempuan yang menampakkan bentuk tubuh badan sama ada dengan pakaian yang ketat, jarang mahupun terdedah sebahagian daripada tubuh badannya yang telah dilarang oleh syariat Islam. Bagi kaum lelaki juga mereka tidak digalakkan untuk memakai pakaian yang ketat sehingga menampakkan bentuk tubuh pada bahagian aurat mereka dan hukumnya adalah makruh seperti mana yang diterangkan oleh Imam al-Nawawi dalam karyanya al-Majmu’.
3) Tidak memakai pakaian atau aksesori yang menyerupai ciri budaya orang bukan Islam.
- Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada terikut-ikut dengan budaya negatif masyarakat bukan Islam. Hal ini termasuklah ketika berpakaian dan memperagakan sesuatu fesyen. Nabi S.A.W. telah melarang kita daripada terikut-ikut dengan budaya luar yang terkadag-kadang mampu menggugat akidah dan akhlak umat Islam terutamanya dalam kalangan para pemuda-pemudi.
Dalam sebuah hadith Nabi S.A.W. pernah bersabda:
"Sesiapa yang terikut-ikut dengan gaya hidup sesuatu kaum maka dia termasuk dalam golongan tersebut” (Diriwayatkan oleh Abu Daud dan al-Tirmizi). Hadith ini melarang umat Islam daripada terikut-ikut dengan budaya luar yang bersifat negatif termasuklah dalam berpakaian."
- Antara ikutan negatif yang berlaku seperti memakai pakaian yang mempunyai gambar salib, gambar-gambar yang tidak menutup aurat, bertindik pada anggota badan tertentu bagi kaum lelaki, melukis tatu dan lain-lain. Inilah realiti umat Islam akhir zaman seperti mana yang telah dinyatakan oleh Nabi S.A.W. :
“Sesungguhnya kamu akan mengikuti gaya hidup masyarakat selepas kamu (Yahudi dan Nasrani) sejengkal demi sejengkal, sehasta demi sehasta sehingga jika mereka masuk ke lubang biawak sekali pun nescaya kamu akan memasukinya”.
(Hadith muttafaq alaih).
4) Fesyen yang bertentangan dengan jantina si pemakai.
- Sesungguhnya Islam melarang umatnya daripada menyerupai golongan yang berlainan jantina. Hal ini termasuklah dalam memperagakan fesyen. Hukum lelaki yang menyerupai wanita dan wanita yang menyerupai lelaki adalah haram kerana ianya berlawanan dengan fitrah asal penciptaan seseorang manusia sama ada dalam tingkah laku dan juga pemakaian. Contohnya kaum lelaki tidak dibenarkan memakai pakaian yang menunjukkan ciri-ciri kaum wanita seperti memakai pakaian yang diperbuat daripada sutera. Begitulah juga mereka ditegah daripada memperagakan tubuh badan mereka dengan aksesori wanita seperti rantai emas, pewarna bibir, pewarna kuku dan sebagainya.
Nabi S.A.W. telah bersabda:
“Sesungguhnya Allah S.W.T. melaknat lelaki yang memakai pakaian wanita dan wanita yang memakai pakaian lelaki”.
(Diriwayatkan oleh Abu Daud, al-Nasaie dan Ahmad).
5) Mengelakkan daripada fesyen yang keterlaluan.
- Nabi S.A.W. menganjurkan kita supaya bersederhana dalam segala perkara termasuklah ketika memperagakan sesuatu fesyen. Kita perlu mengambil berat dalam memilih sesuatu fesyen yang ingin diketengahkan. Antara larangan Nabi S.A.W. dalam berpakaian ialah memakai pakaian yang disebut sebagai pakaian ‘syuhrah’ iaitu pakaian yang keterlaluan bentuk dan potongannya berbanding pakaian-pakaian kebiasaan. Hal ini adalah untuk mengelakkan daripada timbulnya perasaan sombong di dalam jiwa si pemakai.
Nabi S.A.W. telah bersabda:
“Sesiapa yang memakai pakaian ‘syuhrah’ di dunia maka Allah S.W.T. akan memakaikannya dengan pakaian yang hina pada hari akhirat”.
(Diriwayatkan oleh Abu Daud dan Ibnu Majah).
- Kesimpulannya, Islam tidak melarang seseorang itu untuk berfesyen namun perlulah mengikut sebagaimana yang telah digariskan oleh syariat Islam. Malah kita digalakkan untuk menghias diri kita secara kemas, cantik dan sederhana. Persoalan penting juga adalah bagaimanakah niat kita ketika berfesyen? Dan kita seharusnya berfesyen mengikut syarak dengan penuh rasa ketaqwaan.
No comments:
Post a Comment