Monday, 25 July 2016

MENGAPA BACAAN DI DALAM SOLAT PADA WAKTU ZOHOR DAN ASAR PERLAHAN MANAKALA MAGHRIB, ISYAK DAN SUBUH DIKUATKAN?



          Firman Allah S.W.T.:
"Dan janganlah kamu mengeraskan suaramu dalam solatmu dan janganlah pula   merendahkannya." (al-Isra':110).
Selepas turun ayat ini, maka Rasulullah S.A.W. merendahkan bacaan baginda di dalam solat Zohor dan Asar, kerana baginda khuatir akan ejekan dan cemuhan kaum Musyrikin. Manakala di dalam solat Maghrib baginda mengeraskan bacaan kerana ketika itu kaum Musyrikin sedang sibuk makan. Manakala di dalam solat Isyak dan Subuh, baginda mengeraskan bacaan kerana ketika itu mereka sedang nyenyak tidur. 

Peristiwa di atas adalah ketika permulaan dakwah Islam untuk mengelakkan perkara yang tidak diingini dari kaum musyrikin. Manakala di dalam solat Jumaat dan solat Hari Raya, bacaan dikeraskan kerana dua solat ini disyariatkan setelah berada di Madinah. Ketika itu kekuatan kaum Musyrikin kian lemah. Islam sudah mempunyai kekuatannya. 

Walaupun keadaan sekarang berbeza dengan keadaan semasa permulaan Islam dahulu, namun hukum ini tetap berjalan sehingga bila-bila. Itu termasuk sunnah perbuatan Rasulullah S.A.W.. Ia juga sebagai memperingati sejarah awal penyebaran Islam dan sebagai tanda kesyukuran atas nikmat Allah yang melepaskan kaum Muslimin pertama di Makkah dari penderitaan dan kemudian memberi kemenangan serta kekuatan kepada mereka. 

No comments:

Post a Comment