Thursday, 28 July 2016

KELEBIHAN BERSELAWAT KE ATAS RASULULLAH S.A.W.



Selawat Allah S.W.T. ialah pujianNya di sisi para malaikat. Selawat malaikat ialah doa memohon tambahan gandaan pahala. Dan selawat orang mukmin ialah berdoa memohon supaya Allah S.W.T. melimpahkan rahmat, menambahkan kemuliaan, kehormatan dan kepujian kepada penghulu kita Nabi Muhammad S.A.W. Ia juga bererti taufik daripada Allah untuk mengeluarkan hambaNya daripada kegelapan (kesesatan) menuju cahaya (petunjukNya), sebagaimana dalam firmanNya:
“Dialah yang berselawat kepadamu (wahai manusia) dan malaikatNya (dengan memohonkan keampunan untukmu), supaya Dia mengeluarkan kamu daripada kegelapan kepada cahaya (yang terang). Dan adalah Dia Maha Penyayang kepada orang-orang yang beriman” 
(Surah al-Ahzab: ayat 43)
Hukum berselawat

Para ulama telah sepakat menetapkan hukum berselawat kepada Nabi Muhammad S.A.W. adalah wajib pada keseluruhannya, tetapi mereka tidak sepakat (ijma’) tentang bilakah masa wajib berselawat dan berapakah bilangannya. Antaranya:

1.  Wajib berselawat dalam masa mengerjakan solat.
2.  Membaca Tasyahud (tahiyyat).
3.  Membaca Tasyahud kedua/tahiyyat akhir.
4.  Setiap kali menyebut, mendengar atau menulis nama Nabi Muhammad S.A.W., ganti              namanya atau pangkat kerasulan dan kenabian Baginda SAW.

Kelebihan Selawat

Dari Anas bin Malik radhiallahu ‘anhu, beliau berkata bahawa Rasulullah S.A.W. bersabda:
“Sesiapa yang mengucapkan selawat kepadaku satu kali, maka Allah akan berselawat baginya sepuluh kali, dan digugurkan sepuluh kesalahan dosanya, serta ditinggikan baginya sepuluh darjat/tingkatan (di syurga kelak).”  
(HR An-Nasa’i No. 1297, Ahmad, sahih)
Hadis yang agung ini menunjukkan keutamaan berselawat kepada Nabi S.A.W. dan anjuran memperbanyakkan selawat tersebut. Banyak berselawat kepada Rasulullah SAW merupakan tanda cinta seorang muslim kepada Baginda S.A.W., kerana para ulama mengatakan: “Sesiapa yang mencintai sesuatu maka dia akan sering menyebutnya”.

Waktu Afdhal Berselawat

•Ketika mendengar orang menyebut nama Nabi S.A.W.
•Sesudah menjawab azan dan sebelum membaca doa azan.
•Selesai berwuduk, sebelum membaca doa.
•Pada permulaan, pertengahan dan penutup doa.
•Di akhir qunut dalam solat.
•Di dalam solat jenazah.
•Ketika masuk dan keluar dari masjid.
•Setiap waktu pagi dan petang.
•Hari Khamis malam Jumaat.
•Sepanjang hari Jumaat.
•Ketika berada di mana-mana tempat perhimpunan orang ramai.

No comments:

Post a Comment